Powered By Blogger

ATASI BANGUNAN 'CACAT'

(Seperti yang tersiar di dalam Utusan Malaysia, Ruangan Rencana m/s 10 bertarikh 14 Mei 2007)


Malaysia membangun dengan begitu pesat sekali seiring dengan usia matang kemerdekaan negara yang ke-50 tahun. Bangunan-bangunan pencakar langit, bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan dan berteknologi tinggi semakin rancak dibina dengan begitu indah sekali seni arkitekturnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita patut merasa bangga dan menabik dada di atas kejayaan-kejayaan ini. Namun begitu, apalah ertinya keindahan dan kecanggihan bangunan-bangunan ini, jika apabila siap dibina, ianya tidak dijaga dan diurus sebaiknya sehingga menimbulkan kecacatan di masa hadapan.

Lihatlah senario yang terjadi kini. Tidak dinafikan, rancangan pembangunan kerajaan di dua zon yang berbeza, Putrajaya dan Jalan Duta perlu melalui tatacara kerja yang sangat kompleks dan teratur. Bangunan-bangunan kerajaan di dua zon ini dibina dengan penuh sentimen senibina yang indah. Namun begitu, wujudkah usaha-usaha untuk mengekalkan kesempurnaan ini sehingga bangunan dapat bertahan beratus tahun lamanya?

Bangunan-bangunan Kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, dewan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala yang terkini bilik persidangan Stadium Putra, Bukit Jalil belum pun mencapai usia 50 tahun, tetapi telah mengalami beberapa kecacatan yang begitu ketara sehingga merunsingkan Perdana Menteri kita.

Kecacatan pada amnya boleh dibahagikan kepada dua, bersifat sementara dan bersifat kekal. Bersifat sementara biasanya meliputi kerosakan-kerosakan kecil sahaja dan tidak akan membahayakan nyawa. Yang perlu digusari adalah kecacatan bersifat kekal yang mana biasanya melibatkan struktur utama bangunan dan boleh mengancam nyawa. Keretakan-keretakan yang pada mulanya kecil, apabila dibiarkan akan menjadi besar dan seterusnya boleh meruntuhkan sesuatu struktur tersebut. Inilah yang terjadi dalam situasi bangunan-bangunan kerajaan di Malaysia sekarang.

Bayangkan bagaimana bangunan Menara Jam “Big Ben” di tengah-tengah kota London boleh berdiri dengan gah selama 114 tahun tanpa mengalami sebarang kecacatan. Jawapannya ialah ‘Penyelenggaraan’ dan ‘Penyenggaraan’.

Kita perlu memahami bahawa mencegah itu adalah lebih baik. Di sinilah pentingnya usaha-usaha untuk menyelenggara dan menyenggara. Kerja-kerja penyelenggaraan membawa kepada definisi menguruskan dan mentadbir bangunan berkaitan. Ini meliputi penyediaan jadual secara berkala; harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Manakala, kerja-kerja senggaraan menjurus kepada membaiki kerosakan itu. Pentingnya kedua-dua konsep kerja ini diadaptasi supaya bangunan-bangunan kerajaan di Malaysia dapat bertahan lama dan ini sekaligus dapat mengelakkan pembaziran peruntukan kewangan yang disediakan kerajaan.

Kebanyakan negara-negara maju di Benua Eropah, Hong Kong dan Singapura telah lama menjalankan praktis ini dalam pengekalan bangunan-bangunan di negara mereka. Negara-negara ini melantik seorang Juruukur Bangunan yang kompeten untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaran dan penyenggaraan. Profesion Juruukur Bangunan ini masih belum terkenal di Malaysia walaupun telah 12 tahun bertapak. Juruukur Bangunan diwujudkan dengan tujuan untuk menjalankan kerja-kerja ukur kondisi dan memantau bangunan bagi tujuan pencegahan kecacatan bangunan. Ini merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa bidang ini memerlukan pihak yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan. Buat masa ini, terdapat 2 institusi pengajian tinggi awam yang telah melahirkan graduan-graduan di dalam bidang ini iaitu Universiti Teknologi MARA dan Universiti Malaya.

Di Malaysia, konsepnya lebih menjurus kepada penyenggaraan semata-mata, yang mana lebih memfokuskan kepada usaha-usaha membaiki apabila kerosakan berlaku sahaja. Pihak-pihak yang dilantik pula lebih menjurus kepada profesional yang hanya mendalami satu skop kerja sahaja, samada kerja-kerja awam, mekanikal mahupun elektrikal.

Jika usaha-usaha ini tidak ditangani dengan baik, percayalah bahawa akan berlaku lagi masalah-masalah kecacatan bangunan di masa-masa akan datang. Adalah sewajarnya perancangan secara berjadual diwajibkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan senggaraan di semua bangunan-bangunan kerajaan di Malaysia. Peruntukan kerajaan seharusnya diberikan untuk tujuan menyelenggara, dan bukan semata-mata menyenggara sahaja.






Ditulis dan dikirim oleh:

NUR AZFAHANI AHMAD
Pensyarah Jabatan Ukur Bangunan
UiTM Perak

No comments: