Powered By Blogger

Auckland: Satu Hijrah



30 Okt 2010.. dengan lambaian dan iringan doa, aku dan suamiku terbang jauh meninggalkan bumi Malaysia yang ku cintai. Setelah setahun berhempas pulas mengatur langkah dengan pelbagai persiapan, akhirnya hari ini aku terbang jauh meninggalkan tanahair untuk menjejakkan kaki ke bumi Kiwi.

Segala-galanya bermula kira-kira setahun lalu, apabila permohonan PhD ku diterima oleh pihak pengurusan UiTM. Maka pelbagai prosedur dijalankan, bermula dengan dua peringkat temuduga yang perlu ku hadapi, di kampus cawangan dan di kampus induk, UiTM Shah Alam. Temuduga untuk menapis sejauhmana tahap kemampuan seseorang calon. Aku bersyukur kerana selama aku berkhidmat di UiTM Perak, banyak anugerah telah ku perolehi. Secara tidak langsung, peluang untuk ke luar negara adalah lebih cerah. Bukan untuk menabik dada, tetapi sebenarnya aku merasa puas dan berbaloi atas segala hasil usaha dan ketekunan ku bekerja selama ini.Penghargaan yang bukan kepalang aku letakkan kepada Ketua Jabatanku dan Dekan FSPU yang banyak menolong memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Syukur, alhamdullilah..Hanya Allah yang boleh membalasnya.

Aku juga bersyukur mempunyai suami yang selalu memberikan sokongan moral terutama sekali dalam proses penyiapan visa perjalanan kami berdua yang pastinya rumit dan memeningkan kepala. Tetapi aku selalu berpegang pada prinsip ~ "Go with the Flow.." Yang penting, siap semuanya dan hati pun tenang. Dalam masa yang sama, tugasan hakiki ku tetap jalankan dengan sebaik mungkin.

Teringat hari pertama aku membuka surat tawaran PhD dari Bahagian Biasiswa UiTM. Hati berdegup kencang. Sudahlah kepenatan, kerana aku baru sahaja tiba dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kerana membawa pelajar-pelajarku menyertai pertandingan Inovasi. Alhamdullilah, aku berjaya menyambung pelajaran ke luar negara. Yang lebih memeranjatkan ku, hanya 3 orang sahaja dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU)seluruh kampus UiTM yang mendapat tawaran PhD ke luar negara dan aku salah seorang daripadanya. Alhamdullilah..leganya hatiku..Di rumah, terus aku sujud syukur kepadaNYA. Syukur kerana sebenarnya ini impian aku sejak dahulu dan ini keinginan aku untuk menggembirakan orang tuaku.

31 Okt 2010..tarikh keramat yang akan diingati sampai bila-bila..
Bermulanya pengembaraanku ke bumi Kiwi dalam mengejar seribu impian bagi membina sebuah masa hadapan. Alhamdullilah, berkat doa dan sokongan ibu-bapa, suami, rakan-rakan dan pelajar-pelajar kesayangan, aku menjejakkan kaki ke Auckland, New Zealand.

Bermulalah episod baru dalam hidupku yang kini kembali bergelar seorang pelajar.
InsyaAllah, tidak akan aku sia-siakan peluang yang telah diberikan oleh UiTM kepadaku.

1 Nov 2010.. MashaAllah, aku mendaftar hari ini sebagai seorang pelajar PhD di sebuah universiti yang ternama. The University of Auckland. Terasa seperti di dalam mimpi. Syukran Ya Allah..Alhamdullilah di atas segala-galanya..Dan yang lebih bermakna, supervisorku walaupun berbangsa British yang telah menetap di Auckland, beliau adalah seorang muslim. MashaAllah...SubhanaAllah..Hanya itu mampu ku lafazkan di dalam hati ini..
Terasa begitu asing di sekelilingku, namun aku lega kerana pemergianku ditemani seorang sahabat baik yang bernama suami =)

No comments: