Powered By Blogger

Bangunan Komtar; terpinggir lagi tersisih?




Bangunan Komtar, Pulau Pinang merupakan antara bangunan komersial tertinggi yang terawal di Malaysia dan sangat terkenal pada tahun 1980-an, tetapi kini di sebalik pembangunan pesat negara, benarkah bangunan ini semakin tersisih dan terpinggir?



Menara KOMTAR (Kompleks Tun Abdul Razak) terletak di Georgetown, Pulau Pinang di mana ianya merupakan bangunan yang paling tinggi di Pulau Pinang dan ke-6 tertinggi di Malaysia selepas bangunan menara berkembar KLCC, Menara Telekom dan sebagainya. Bangunan ini yang menampilkan bentuk bersegi 12 menempatkan ruang pejabat dengan ketinggian 232m atau 760 kaki dan mempunyai 65 tingkat kesemuanya. Di kelilingi pembangunan pesat Pulau Pinang, bangunan ini semakin pudar ditelan zaman. Barangkali masyarakat di sekitar Pulau Pinang masih memandang menara ini sebagai satu mercu tanda namun masyarakat di Malaysia seolah-olah telah terlupa tentang keagungan bangunan yang dibina pada tahun 1986 ini.
Pada akhir tahun 1978, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil alih sebuah bangunan sekolah agama yang sangat terkenal dan di antara yang tertua di Malaysia, di mana ianya telah dibina pada tahun 1916. Sekolah yang dimaksudkan adalah Sek. Men. Keb. Agama Al-Mashoor Lelaki, yang terletak di 41-A, Lebuh Tek Soon dan menggantikannya dengan pembinaan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) ini.

Di awal pembinaannya, menara Komtar ini begitu dinanti-nantikan oleh rakyat Pulau Pinang kerana ianya selaras dengan pembinaan Jambatan Pulau Pinang pada waktu itu. Ianya juga menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri. Selain daripada Pejabat Speaker dan Pejabat Ketua Menteri, ruang pejabat dan tempat rehat untuk para wakil rakyat, pegawai dan orang awam juga turut disediakan. Namun begitu, di atas tuntutan kemajuan dan kehendak jangka panjang, bilik-bilik mesyuarat yang sedia ada telah menjadi agak sesak dan hanya mampu menampung kapasiti 33 orang wakil rakyat sahaja. Manakala, tempat untuk pegawai dan kakitangan kerajaan, para wartawan dari media massa dan galeri untuk orang awam adalah tidak mencukupi sama sekali.
Kini, setelah 22 tahun bangunan ini dibina, ianya disesakkan lagi dengan rangkaian stesen bas dan teksi di bawahnya yang menjejaskan nilai-nilai estetika bangunan tersebut. Asap-asap kenderaan awam ini terperangkap di bawah bangunan, di dorong atas faktor kelemahan rekabentuk tambahan bangunan sedia ada. Merumitkan keadaan lagi, apabila bangunan ini turut dirangkaikan dengan sebuah kompleks membeli-belah untuk golongan pendapatan pertengahan dan rendah.

Menyusur langkah ke dalam bangunan ini, penulis sama sekali merasa hiba. Sangat berbeza dengan bangunan-bangunan komersial terkini, kedai-kedai di Menara Komtar ini begitu muram sekali, di mana kebanyakan susun atur dan ruangan dalaman kedai disusun secara konvensional, menampilkan nafas lama di mana tidak wujudnya peragaan-peragaan yang bernilai kontemporari, hiasan elemental bangunan yang sangat ketinggalan, keadaan lantai dan dinding yang tidak berseri dengan sistem kebersihan tandas walaupun berbayar amat menyesakkan nafas.

Secara khususnya, kebanyakan kedai-kedai di dalam bangunan ini disediakan khusus untuk membantu peniaga-peniaga Bumiputera menjual barangan-barangan tradisional seperti kuih-kuih tradisional Melayu, kain batik, baju Melayu dan baju kurung, ubatan tradisional dan beberapa salun gaya 1970-an. Di tingkat dua kebanyakan kedai telah ditutup kerana kekurangan pelanggan. Adakah ini senario yang perlu ditonjolkan untuk bangunan yang menjadi mercu tanda sebuah negeri?


Sebagai seorang Juruukur Bangunan yang berdaftar di bawah Perbadanan Juruukur Malaysia (ISM), pastinya bangunan ini turut dilihat dari fokus sistem penyelenggaraannya. Apa yang pasti, sepanjang lawatan penulis ke bangunan ini, perspektif tinggi terhadap bangunan ini telah tersasar sama sekali. Membawa pelajar-pelajar membuat kajian kondisi ke atas bangunan ini menjadi satu pengalaman yang amat-amat menarik. Menariknya kerana begitu banyak kecacatan bangunan yang perlu dicatat dan diperiksa di dalam masa 2 hari lawatan. Penulis tidak berniat untuk memburukkan imej bangunan ini, justeru itu adalah lebih baik penulis dan rakan-rakan Juruukur Bangunan yang lain mengambil inisiatif untuk berbuat sesuatu terhadap perkara ini. Mungkin, pihak di sana masih kurang input dan ilmu tentang permasalahan yang melanda. Sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan imej bangunan ini. Yang pastinya, kita tentu tidak mahu kejadian bumbung bocor seperti di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur terjadi lagi.



2 comments:

iEra naDira said...

saya minta izin untuk menyalin artikel ini boleh ya.. =)

Nur Azfahani said...

ok