Powered By Blogger

Keberkesanan pengudaraan silang bagi rumah kediaman: melalui pengaplikasian peralatan ’Velocicalc Plus Meter’ dan formula pengudaraan

Nur Azfahani Ahmad dan Nazhatulzalkis Jamaludin
Pensyarah Jabatan Ukur Bangunan
Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Perak

PEMBENTANGAN DI CONFERENCE OF SCIENCE & SOCIAL RESEARCH (CSSR) 2009 DI AYER KEROH MELAKA

ABSTRAK

Krisis keselesaan terma dalam perumahan moden kerapkali timbul kerana kurangnya kepentingan terhadap keperluan rekabentuk yang mementingkan faktor-faktor persekitaran. Bagi negara beriklim tropika seperti Malaysia yang mengalami panas dan lembap sepanjang tahun, faktor bahangan haba merupakan penyumbang utama bagi ketidakselesaan di dalam bangunan.

Kajian keberkesanan dari aspek pengudaraan silang bagi rumah-rumah di Malaysia yang terdiri daripada rumah tradisional Melayu dan perumahan moden adalah merupakan kajian ilmiah yang sangat signifikan dalam konteks alam bina pada masa kini. Kajian ini sangat penting untuk dikaji memandangkan tahap keselesaan penghuni bangunan di dalam persekitaran iklim panas dan lembap seperti di Malaysia mempunyai pelbagai pemboleh ubah. Satu daripada pembolehubah yang penting adalah keberkesanan pengudaraan silang di dalam bangunan.

Bangunan kediaman perlu berfungsi sebagai medium yang memberikan keselesaan fizikal dan psikologi kepada penghuni bangunan. Aspek-aspek iklim seperti pengudaraan silang merupakan salah satu mekanisma semulajadi yang berkait rapat dengan ketentuan keselesaan ini. Pengudaraan silang amat berkait-rapat dengan faktor susunan bukaan pintu dan tingkap di dalam sesebuah bangunan bagi mencapai tahap keselesaan penghuni bangunan tersebut. Rumah tradisional Melayu yang kebanyakannya ditemui di kawasan kampung menyediakan ruang dalaman kediaman yang serasi dengan persekitaran iklim tropika. Bilangan pintu, tingkap dan bukaan-bukaan kecil yang berkerawang yang banyak terdapat pada rumah tradisional banyak membantu membenarkan udara keluar dan masuk dengan bebas untuk mengeluarkan haba lebihan daripada bangunan berbanding rumah moden. Rumah-rumah moden pada masa kini yang dibina dengan seragam kurang mementingkan faktor-faktor alam sekitar barangkali didorongi oleh faktor-faktor permintaan semasa yang cepat dan kepadatan penduduk di bandar yang semakin tinggi.

Kajian keberkesanan ini dibuat menggunakan peralatan saintifik untuk mendapatkan data di kawasan kajian yang telah dipilih. Pengaplikasian peralatan pengujian pengudaraan seperti ’VelociCalc Plus Meter’ adalah wajar untuk mencari kejituan bacaan pengudaraan silang ini. Data dianalisis menggunakan persamaan matematik yang digunapakai dalam piawaian-piawaian daripada Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) (1984), Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), ‘Chartered Institution of Building Services Engineers’ (CIBSE) dan juga ’American Society of Heating, Refrigerating and Air-Conditioning Engineers’ (ASHRAE).

Kata kunci: Pengudaraan Silang, Pengudaraan Semulajadi, Rumah Tradisional Melayu, Rumah Moden

No comments: