Powered By Blogger

HERIOT-WATT UNIVERSITY (HWU)




Heriot-Watt University, Ricarrton, Edinburgh, Scotland, UK

Pengajian di HWU sangat sesuai untuk pelajar-pelajar Ukur Bangunan yang berminat untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Di HWU, terdapat fakulti Alam Bina (School of Built Environment) yang mempunyai program-program pembelajaran di peringkat Sarjana Muda (Kepujian) di dalam program Ukur Bangunan (Building Surveying). Pengajian di HWU adalah di antara 3-4 tahun bergantung kepada program diploma yang pernah diambil sebelum ini dan pengecualian kredit mata pelajaran. Bagi peringkat Sarjana pula, pelbagai program yang berkaitan dengan skop Ukur Bangunan boleh dipohon. Tempoh pengajian adalah di antara 1 tahun ke 1 tahun setengah dan di dalam mod pengajian penyelidikan dan pembelajaran atau mod penyelidikan semata-mata. Ini adalah bergantung kepada keperluan kursus yang dipilih. Antara skop yang berkaitan adalah di dalam Pengurusan Fasiliti (Facilities Mgmt), Penyenggaraan Aset (Asset Maintenance), Kejuruteraan Kemudahan Bangunan (Building Services Engineering), Pengurusan Kemudahan Bangunan (Building Services Mgmt) dan banyak lagi. Program PhD (Built Environment)di HWU adalah program terbaik di antara 5 universiti-universiti terbaik dan terkenal di United Kingdom. Fasiliti makmal dan peralatan pengujian yang sangat moden dan terkini, lebih-lebih lagi bagi pelajar jurusan 'building services' iaitu yang meliputi skop penyelenggaraan perkhidmatan bangunan iaitu sistem lif, sistem bunyi, sistem penyaman udara, pengudaraan, hidraulik, termodinamik, pencahayaaan dan pelbagai lagi. Pelajar-pelajar didedahkan dengan ilmu 'di depan mata' yang boleh dipelajari secara teori dan praktikal. Contohnya, jika ingin mengetahui bagaimana gema berlaku, terdapat sebuah bilik kalis bunyi yang menghasilkan 'echo' (gema). Pelajar didedahkan secara realiti tentang sesuatu proses.

Kedudukan HWU ini adalah di barat bandar Edinburgh, di sebuah daerah sub-urban yang bernama Ricarrton di Scotland. Scotland yang terletak di utara United Kingdom merupakan sebuah negara yang beriklim sangat sejuk jika dibandingkan dengan Kota London. Sepanjang pengajian penulis di Edinburgh, penulis berpeluang merasai suhu sehingga -18 darjah celcius dan merasai nikmat demam di musim sejuk bersalji Edinburgh :) Bandar Edinburgh (sebutan 'Edinbre') merupakan sebuah kota kosmopolitan dan tumpuan pelancongan terkenal di UK yang masih mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah yang berusia lebih 500 tahun.


Manakala, HWU adalah sebuah universiti yang mempunyai keluasan yang besar berbanding universiti-universiti yang lain di UK. Dengan lanskap yang indah serta menghijau, flora-flora liar dan habitat seperti rusa dan arnab dibiarkan bebas di kawasan hijau HWU. Terdapat juga sebuah tasik semulajadi yang sentiasa dipenuhi bangau, itik dan flamingo di bahagian barat daya universiti. Kawasan yang tenang ini secara tidak langsung, memudahkan mood pembelajaran di sini.



Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke kawasan universiti, anda akan disambut dengan sebuah papan tanda yang mengalu-alukan kedatangan anda ke kawasan tersebut.



Menyusuri laluan pejalan kaki yang dipagari pokok-pokok serta lanskap bunga-bunga Daphodil akan membawa kepada bangunan "George" (George Wing) yang pada kebiasaannya merupakan laluan bas awam yang membawa pelajar ke bandar Edinburgh.





Dari jauh, anda akan dapat melihat sebuah tugu memorial 'James Watt' yang merupakan pengasas universiti ini yang berlatarkan pintu masuk utama ke universiti. Dari dahulu sehingga kini, penulis masih tertanya-tanya mengapakah tugu James Watt ini dibina di dalam posisi seolah-olah beliau bermalas-malasan. Barangkali ini adalah gambaran beliau sedang berfikir, mungkin..Tugu ini adalah setinggi kira-kira 5-6 meter di tengah-tengah halaman masuk universiti.



Pengalaman terindah penulis ialah apabila melihat bangunan HWU diselaputi salji pada musim sejuk. Keseluruhan kawasan kampus putih diselaputi salji. Pengalaman ini pastinya tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Permukaan air di tasik juga membeku dan boleh kelihatan itik-itik berjalan di atas bekuan air tersebut.



Selain daripada musim sejuk, penulis juga berpeluang merasai musim luruh (Autumn), di mana pada waktu ini daun-daun kering akan banyak berguguran. Cuaca juga agak sejuk dan sentiasa hujan. Ini merupakan awalan sebelum bermulanya musim sejuk nanti.


Pelbagai kemudahan disediakan di universiti ini, di antaranya adalah kemudahan pengangkutan bas awam yang masuk setiap 30 min di hadapan pintu masuk universiti. Gambar di sebelah merupakan kawasan hentian bas bagi pelajar. Selain daripada itu kemudahan bilik komputer "PC Caledonian" dengan rangkaian internet yang sangat pantas, pastinya memudahkan pelajar-pelajar membuat sebarang tugasan. Kawasan percetakan juga disediakan secara bersepadu, di mana semua komputer mempunyai akses untuk mencetak. Khidmat mesin fotokopi pula adalah berdasarkan konsep DIY "Do It Yourself', dan terdapat 6 mesin fotokopi disediakan di perpustakaan HWU. Segala-galanya mudah di mana pelajar tidak perlu pergi ke mana-mana untuk mencari sumber.

Selain daripada itu, kemudahan kolej kediaman dengan pemandangan yang menghijau disediakan. Pemandangan sangat mendamaikan apabila tiba waktu matahari tenggelam (sunset) sekitar waktu senja (menjelang maghrib).


Yang paling menggembirakan ialah apabila anda berjaya pulang ke tanahair dengan membawa skrol yang diidam-idamkan.Itu adalah kegembiraan yang paling mutlak sekali walau di mana anda belajar!





Alhamdullilah!!
Syukur kepada Allah atas rezeki yang diberi.
Terima Kasih UiTM kerana memberikan peluang ini.






p/s: Gambar-gambar kenangan. Penulis tidak berniat untuk membangga-banggakan universiti luar negara. Sekadar berkongsi pengalaman dan cerita.

7 comments:

Angel said...
This comment has been removed by the author.
Angel said...

sy tanya sikit boleh tak?
sy lepasan spm 08.
sy ingt nak pilih asasi alam bina sbg first choice dlm senarai upu.
saya just nak tau.
alam bina tu apa?
apa yg kite akan blajar nanti?
ape kerje yg kite leh apply after ijazah?

Nur Azfahani said...

salam didie,
alam bina bidang yg berkaiatn dgn architecture, quantity surveying, building, contruction

Cha fern said...

wow, seems very interesting...

hows the programme structure?

i heard that university in u.k is not an examination based? is it true? no final exam?

Cha fern said...

wow, seems very interesting...

hows the programme structure?

i heard that university in u.k is not examination based? is it true? no final exam?

its only in malaysia that we practise final exam.. not sure..

Faizah said...

Heriot-Watt University is now in Malaysia!! yeyyyy!

Unknown said...

Good sharing, the Edinburgh Business School MBA is delivered at Heriot-Watt University Malaysia campus at Putrajaya on a part-time basis. Lessons are carried out at the weekends to suit busy professionals who work during the weekdays. The essence of this weekend programme is whatever the participant learns at the weekend can be implemented at work come Monday, at work. This enables working students to put their newly developed skills and knowledge into practice within mere hours. For detail visit:
http://kidbuxblog.com/earn-while-you-learn/